KOTA SAMARAHAN: Kisah perjalanan kehidupan Sultan Ibrahim yang dipaparkan dalam tayangan video ‘Tuanku Payung Mahkota’ menjadi pengisian utama Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2024.
Tayangan video tersebut ditayangkan menerusi skrin utama di dalam Dewan DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.
Video khas terbitan Jabatan Penyiaran (RTM) Sarawak itu turut memaparkan peristiwa penting dalam kehidupan Sultan Ibrahim seperti detik baginda diputerakan pada 22 November 1958, termasuk perkahwinan baginda dengan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada 22 September 1982.
Video berdurasi enam minit itu turut memaparkan pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010, Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, serta Istiadat Pertabalan Sri Paduka di Istana Negara pada 20 Julai 2024.
Majlis yang menghimpunkan lebih 500 tetamu itu disempunakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Zohari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian dan Menteri Ultiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta dif-dif kenamaan lain.
Majlis turut diserikan dengan upacara memotong pulut kuning oleh Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi serta isteri, disusuli tayangan video lagu khas dendangan Bob Yusuf dan Camelia.
Untuk rekod, Kota Samarahan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak selama empat hari, mulai 5 hingga 8 September 2024.
Terdapat empat acara utama iaitu Pameran Raja Kita di Summer Mall Kota Samarahan, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain di Dewan Suarah Kota Samarahan dan Majlis Kesyukuran di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan.
