SIBU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi membaik pulih klinik dan membina kuarters berkualiti di Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, peruntukan itu diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Jun lalu.
Katanya, ketika ini sebanyak RM50 juta telah diterima dari KKM dan RM50 juta (Kerajaan Sarawak).
“Beliau (Premier Sarawak) menekankan agar peruntukan ini untuk didirikan kuarters yang berkualiti dalam masa, kita menggantikan klinik-klinik yang
dikenal pasti di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS)@HePiLI & One Hour Malaysia Clean Up (1HMCU) Peringkat Negeri Sarawak 2024, di sini, hari ini.
Lukanisman berkata, baik pulih dan pembinaan menggunakan peruntukan itu dalam tempoh 18 bulan dan Pengarah Kesihatan Sarawak telah mengenal pasti lokasi, reka bentuk dan kos terlibat yang akan dibentangkan kepada Premier Sarawak dan menteri bertanggungjawab.
