Program War on Sugar galak rakyat negara ini kurangkan gula

SIBU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan program War on Sugar bagi menggalakkan rakyat negara ini mengurangkan pengambilan gula.

Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, program ini berikutan terdapat peningkatan berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia tahun lalu iaitu sebanyak 54.5 peratus berbanding 50.1 peratus pada 2019.

Katanya, berdasarkan Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 juga, nisbah satu dari enam rakyat Malaysia menghidap diabetes dan antara negara dengan prevalen tertinggi di Asia Tenggara.

“Kita berharap akan menjalankan satu program berskala nasional iaitu War on Sugar, kempen memerangi gula ataupun kita menggalakkan pengambilan gula yang berkurangan di dalam pemakanan harian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS)@HePiLI & One Hour Malaysia Clean Up (1HMCU) Peringkat Negeri Sarawak 2024, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai program ANMS, Lukanisman terdapat 15 lokasi di seluruh negeri untuk program tersebut yang bergerak sejak 15 Ogos lalu.

“Kita akan menghimpunkan ribuan pelajar di sepanjang jelajah ANMS ini,” ujarnya dengan program itu akan tamat di SMK Petrajaya, di Kuching pada 8 Oktober depan.