Isu akses pendidikan sekolah luar bandar, sekolah daif Sarawak ditangani

SIBU: Program Tindak Susul Parlimen (TSP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diterus di Igan pada 6 hingga 7 September ini.

Program kali ini adalah siri ketiga pada tahun ini, selepas Siri Satu di Selangor dan Siri Dua di Pulau Tioman.

Dalam program dua hari ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan pasukan Pendidikan Manusiawi KPM mengadakan lawatan meninjau keadaan di beberapa sekolah di Sibu dan Igan.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya, Sibu, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Semah, Daro, SK Kg Kut, Daro, Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daro, SK Kg Pangtray, Daro SMK Matu, Daro, SK Kg Pergau, Daro dan SK Kampong Tellian, Mukah.

Menterinya, Fadhlina berkata, tumpuan utama Program TSP Siri 3/2024 untuk memastikan isu akses pendidikan sekolah luar bandar dan sekolah daif di Sarawak ditangani.

Katanya, ia selaras dengan iltizam KPM memastikan kesaksamaan ekuiti dan akses pendidikan berkualiti kepada semua sekolah di Sarawak termasuk sekolah luar bandar dan sekolah pesisir sungai.

“Ini juga bertepatan dengan komitmen berterusan kementerian untuk menterjemahkan semangat MA63 dalam konteks pembangunan pendidikan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, fokus KPM dalam Program TSP Siri turut diberikan kepada penyediaan fasiliti pendidikan yang selesa untuk murid, guru dan seluruh warga sekolah.

“KPM yakin bahawa isu sekolah daif yang diberi tumpuan khusus oleh Kerajaan Madani dapat ditangani dengan kerjasama strategik bersama agensi teknikal pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak,” ujarnya.
Katanya, dalam program ini terdapat projek gantian penuh sekolah daif yang telah siap dan serahkan di SK Kg Tellian.

“KPM turut mewujudkan Centre of Excellence (COE) di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daro. Ia dilengkapi dengan peralatan dan teknologi terbaik khusus untuk manfaat guru dan murid.