GPS fokus dasar jana ekonomi mapan

KUCHING: Tumpuan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika ini menjurus ke arah dasar penjanaan ekonomi mapan berteraskan sumber yang lestari dan teknologi, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, seawal 2017, Sarawak telah mengorak langkah untuk membangunkan ekonomi digital yang disusuli dengan inisiatif ke arah ekonomi hidrogen, pembangunan sumber lestari dan tenaga bersih.

“Kini mula meneroka inisiatif untuk membangunkan industri cip sebatian dan aeroangkasa di samping usaha ke arah penghiliran sumber minyak dan gas,” kata Premier Sarawak dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di sini.

Menurut beliau, kini Sarawak terus menerajui cabang ekonomi baharu dan menjadi rujukan kepada kawasan-kawasan lain di dalam dan luar negara.

Sarawak mampu bergerak pantas dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini kerana keadaan sosial dan politik yang agak stabil, tegas beliau.

Sepanjang 61 tahun menyertai pembentukan Malaysia, katanya, Sarawak terus melangkah maju dan berdaya saing dalam pelbagai bidang bagi mengukuhkan seterusnya mentransformasikan ekonomi Sarawak ketika dunia berada dalam persimpangan untuk mula beralih kepada tenaga bersih dalam usaha menangani perubahan iklim.

Malaysia adalah sebuah keluarga besar yang menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum dan agama sejajar dengan semangat setia kawan pemimpin terdahulu yang telah berjuang untuk memerdekakan Malaysia daripada kuasa asing, tambahnya.

Di Malaya pada 1957 pemimpin Melayu, India dan Cina telah bergabung tenaga untuk menuntut kemerdekaan daripada pihak British, katanya.

Beliau menegaskan, di Sarawak pula, pemimpin Dayak, Cina dan Melayu telah berganding bahu untuk membebaskan Sarawak daripada pentadbiran British.

Di samping itu, Abang Johari berkata, Malaysia juga boleh diibaratkan sebagai sebuah keluarga besar yang menjaga kepentingan wilayah-wilayahnya di tengah-tengah kancah serantau dan antarabangsa untuk mengwujudkan suasana kondusif kepada pembangunan ekonomi di wilayah-wilayah tersebut.

Premier Sarawak berkata, selepas dunia dilanda Covid-19, Kerajaan GPS Sarawak terus mengambil langkah berani dan proaktif dengan pelaksanaan dasar Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS2030) pada 2023 sebagai landasan utama ke arah menjadikan Sarawak sebagai kawasan maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Pada asasnya, katanya, PCDS2030 mempunyai tiga tonggak utama, yang memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak.

“Justeru, sempena Hari Kebangsaan pada tahun ini saya menyaran rakyat Sarawak supaya kita semua terus bergerak seiringan untuk membina masa depan yang lebih cemerlang untuk Sarawak dan Malaysia.

“Dengan semangat “Segulai, Sejalai” dan setia kawan, saya yakin Sarawak dan Malaysia akan terus bergerak menjadi kawasan yang disegani di rantau ini dan dihormati oleh masyarakat dunia,” katanya.