Teruskan legasi pemimpin terdahulu

KUCHING: Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar mengingatinya tetapi hari untuk menghargai pengorbanan pemimpin terdahulu yang berjuang habis-habisan mencapai kemerdekaan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk meneruskan legasi itu dengan mempersiapkan negara menghadapi cabaran dan peluang mendatang.

“Hari ini, kita berhadapan dengan dunia yang cepat berubah disebabkan perkembangan teknologi, inovasi dan globalisasi untuk membentuk cara hidup,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di sini.

Uggah menegaskan, rakyat juga harus melengkapi diri dan generasi akan datang dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kekuatan untuk menghadapi era baharu itu sambil memupuk semangat perpaduan dan meraikan kebebasan.

Kepelbagaian adalah kekuatan rakyat Malaysia dan dengan mengeratkan lagi semangat kerjasama, katanya, rakyat boleh membina negara ini sebagai sebuah negara yang kuat, bersatupadu, makmur dan inovatif.

“Bersama-samalah kita kuatkan semangat Merdeka dengan menyemai budaya terus belajar, kreatif dan berkolaborasi,” katanya.

Ini adalah landasan untuk negara terus mencapai kemajuan, makmur dan aman, katanya.

“Perkuatkan komitmen kita untuk mencapai kemajuan itu dalam meraikan Hari Kebangsaan. Kita akan terus melabur dalam pendidikan, menggerakkan golongan belia dan melindungi alam sekitar,” katanya.