GPS umum rombakan kecil Kabinet Sarawak

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan penyusunan kecil Kabinet Sarawak susulan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki sebagai Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) yang mengawal selia Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berkuat kuasa hari ini.

Rombakan kecil itu turut menyaksikan ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi kini memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam).

Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rombakan kecil itu bertujuan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan GPS kepada rakyat serta meningkatkan sektor tenaga, termasuk pelaburan dalam industri minyak dan gas.

“Langkah ini juga akan membolehkan Kerajaan Sarawak merancang strategi yang lebih berkesan dalam usaha mencapai visi Sarawak sebagai sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Angkat Sumpah Dato Ibrahim Baki Untuk Jawatan Timbalan Menteri Sarawak di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya di sini, hari ini.

Menurutnya, Ibrahim akan bertanggungjawab ke atas Petros dengan mengurus dan menyelaras pembangunan gas wilayah ini melalui penubuhan sebuah jawatankuasa menteri yang diketuai oleh Ibrahim sendiri.

“Kita memerlukan individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang, korporat serta konsesi untuk menjayakan usaha membangunkan industri gas kita, khususnya pelaksanaan pelan hala tuju industri gas.

“Ibrahim mempunyai kelebihan kerana beliau berpengalaman luas. Beliau pernah berkhidmat di Petronas, pernah berkhidmat sebagai pegawai undang-undang di Petronas, dan pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Petronas,” tegasnya.

Jelas Abang Johari, pengalaman ini membolehkan Ibrahim membantu dalam menyelaras dan menjalin kerjasama strategik dengan Petronas dalam usaha melaksanakan pelan hala tuju gas, serta menjayakan kerjasama antara Petronas dan Petros berdasarkan terma perjanjian komersial yang akan dimeterai antara kedua-dua pihak terutamanya rundingan bersama Petronas.

Katanya lagi, bagi portfolio menjaga SEB pula, Ibrahim akan memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan juga menambah bekalan tenaga dalam usaha menjadi hab tenaga hijau Asia Tenggara (ASEAN).