Ibrahim Baki beriltizam bantu kemajuan mampan Sarawak

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) yang mengawal selia Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Timbalan Menteri Sarawak di Astana Negeri Sarawak hari ini.

Hadir menyaksikan istiadat tersebut, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan Timbalan Menteri.

Ibrahim mengambil alih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok daripada Abang Johari yang kini beralih ke Gedong.

Beliau masih memegang jawatan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan sebelum ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebelum dipilih sebagai Naib Yang di- Pertua Parti setelah mendapat undian tertinggi dalam pemilihan Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB, Februari lalu.

Karier politik beliau bermula sejak tahun 1985 apabila menyertai Sayap Pemuda Parti PBB Cawangan Satok dan telah aktif sejak 1987 apabila memegang jawatan Setiausaha Agung dan Naib Yang di-Pertua bagi Sayap Pemuda Parti PBB.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pengamal undang-undang profesional dengan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB Hons) dari United Kingdom dan merupakan Barrister-at-Law dari Lincoln’s Inn.

Ibrahim memulakan kerjaya undang-undangnya di Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada tahun 1984 sebelum bersama-sama menubuhkan firma guaman Messrs Idris Buang, Ibrahim Baki & Co.

Berpengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang tokoh korporat, beliau juga terlibat aktif dalam pelbagai industri seperti pembangunan hartanah, perkapalan dan media serta kini memegang jawatan pengerusi SEB.

Sementara itu ketika ditemui selepas Istiadat Angkat Sumpah, Ibrahim berkata, beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan.

Malah, beliau juga beriltizam untuk menyumbang bagi mencapai misi bersama iaitu kemajuan mampan Sarawak terutamanya menghadapi cabaran bersama rakan-rakan sejawat yang lain.

“Saya ingin menyumbang bersama rakan-rakan lain, termasuk penjawat awam dan rakyat Sarawak, agar kita dapat mencapai visi bersama untuk kemajuan berterusan dan kemajuan mampan Sarawak,” katanya.

Mengulas bidang kuasa yang akan dipegang beliau, beliau masih memerlukan gambaran sebenar bagi tugas yang akan digalasnya.

Ini bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi yang memegang tanggungjawab ke atas SEB dan Petros, katanya.

“Gambaran kasar yang dapat dilihat yang mana Premier Sarawak pun telah menyebut tentang tugas membantu menyelaras sektor minyak dan gas, khususnya Petros, berdasarkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.

“Begitu juga dengan kepentingan tenaga boleh diperbaharui, kita mahu melonjakkan Sarawak ke tahap lebih tinggi, contohnya memimpin Borneo Grid, supaya Sarawak menjadi pemain utama dalam sektor tenaga,” katanya.