Pihak tidak terlibat rundingan Petros, Petronas, jangan buat andaian – Fadillah

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menegaskan bahawa mana-mana pihak yang tidak terlibat secara langsung dalam perbincangan antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) tidak sepatutnya membuat sebarang andaian atau spekulasi.

Beliau berkata, perundingan antara kedua-dua syarikat minyak dan gas itu sedang berlangsung dengan baik, bertujuan memastikan keseimbangan antara kepentingan negara serta hak Sarawak dalam sektor tenaga.

“Saya mengharapkan biarlah perundingan ini berjalan dengan baik. Jadi, orang yang tak tahu apa-apa yang ada di dalam lingkungan perbincangan, eloknya jangan membuat andaian,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Bazar Ramadan Majlis Pembandaran Padawan (MPP) di Matang Jaya, di sini hari ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, sebarang keputusan yang dicapai akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Sarawak, tetapi juga Kerajaan Persekutuan.

“Apa saja pembangunan, kalau Sarawak dapat manfaat, pastinya Kerajaan Persekutuan juga akan mendapat faedah kerana cukai tetap dibayar kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ini tidak akan menidakkan kepentingan negara. Itu jaminan daripada peringkat negeri Sarawak,” jelasnya.