KUCHING: Perasaan pilu dan hiba mengiringi jenazah Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, isteri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya sekitar jam 2.37 petang tadi.
Cuaca mendung kemudian bertukar hujan sekejap seolah-olah menangisi perjalanan terakhir Allahyarhamah.
Jenazah Allahyarhamah tiba di tapak perkuburan sekitar jam 1.24 petang diiringi suami, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari, anak-anak, cucu dan menantu serta ahli keluarga yang lain.
Sebelum disemadikan, upacara memberi penghormatan terakhir berlangsung di Masjid Jamek, Petra Jaya, di sini.
Ia disusuli dengan solat sunat jenazah yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Dato’ Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Sejurus selepas itu, jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam, Semariang.
Dato Mustapha Kamal kemudian memimpin bacaan doa talqim dan al-Quran bersama-sama tetamu lain.
Upacara menjirus air mawar dimulakan dengan Premier Sarawak kemudian disusuli anak-anak serta keluarga terdekat dan tetamu kenamaan lain.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan dan Negeri.
Datuk Amar Juma’ani menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.34 pagi ini di Pusat Perubatan Normah, Kuching pada usia 76 tahun.
