Kapit hos Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak

KAPIT: Bahagian Kapit dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 yang akan berlangsung selama dua hari mulai 30 hingga 31 Ogos ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sambutan berkenaan bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan serta rasa cinta terhadap negara dalam kalangan rakyat melalui tiga acara utama termasuk Ambang Hari Kebangsaan, Unity Walk dan Perhimpunan Hari Kebangsaan.

“Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 di Kapit diharap menjadi medan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang, di samping menghargai jasa tokoh terdahulu dalam membina keamanan serta kemakmuran negara,” katanya pada sidang media Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak Tahun 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sambutan itu dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, selain Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bagi memastikan kelancaran penganjuran, Dr Stephen berkata, beliau akan dibantu lima Timbalan Menteri Bertanggungjawab iaitu Datuk Liwan Lagang, Datuk Rosey Yunus, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Datuk Majang Renggi dan Datuk Jefferson Jamit Unyat yang masing-masing menyelaras portfolio tertentu sepanjang sambutan.

Acara pembukaan, Ambang Hari Kebangsaan dijadual berlangsung pada 30 Ogos di Kapit Town Square, manakala Unity Walk akan diadakan pada pagi, 31 Ogos sebelum diteruskan dengan Perhimpunan Hari Kebangsaan pada jam 11 pagi di perkarangan Dewan Suarah Kapit.

“Kerajaan Sarawak mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat, khususnya penduduk Bahagian Kapit dan kawasan sekitarnya, bagi bersama-sama memeriahkan sambutan sebagai lambang semangat kebangsaan, jati diri dan kekitaan,” tambahnya.

Menurut beliau, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dijadual menghadiri Unity Walk dan Perhimpunan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, manakala Premier Sarawak akan menghadiri Perhimpunan Hari Kebangsaan di Dewan Suarah Kapit.

Selain kehadiran secara fizikal, orang ramai turut boleh mengikuti perjalanan sambutan menerusi siaran langsung di TVS serta platform media sosial rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sekali gus membolehkan rakyat di seluruh negeri dan negara menghayati sambutan Hari Kebangsaan dari mana-mana lokasi.

Dr Stephen Rundi berkata, penganjuran sambutan itu diharap menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme serta mengukuhkan perpaduan rakyat melalui penglibatan menyeluruh masyarakat dalam meraikan Hari Kebangsaan 2026.