Kaul Mukah lambang identiti, jati diri masyarakat Melanau

MUKAH: Penganjuran acara ikonik, Kaul Mukah setiap tahun bukan sahaja memperkukuhkan warisan budaya kaum Melanau, malah turut memberi kesan kepada sektor pelancongan dan ekonomi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, selain membuka peluang kepada usahawan kecil, mempromosi produk tempatan.

Malah, ia turut memperkenalkan Mukah sebagai destinasi pelancongan yang unik kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Kaul Mukah merupakan satu warisan budaya turun-temurun masyarakat Melanau yang kaya dengan nilai simbolik, adat resam dan spiritual.

“Ia merupakan lambang identiti dan jati diri masyarakat Melanau, dan pada masa sama, menjadi bukti kukuh kepada kekayaan dan kepelbagaian budaya negeri Sarawak yang kita cintai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis perasmian Kaul Mukah 2025 di Tapak Kaul Mukah, Pantai Kala Dana hari ini.

Premier Sarawak menambah, Kaul Mukah akan terus menjadi acara berprestij yang bukan sahaja memperingati warisan silam, tetapi turut menjadi jambatan untuk memperkukuhkan keharmonian antara kaum dan membina masa depan yang lebih gemilang.

Katanya, dengan semangat perpaduan yang kukuh, penghayatan budaya yang mendalam dan dukungan semua pihak, Kaul Mukah akan terus berkembang sebagai warisan agung masyarakat Melanau dan kebanggaan seluruh Sarawak.

Kaul Mukah berlangsung mulai 19 hingga 27 April ini menyediakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung antaranya permainan Tibow, perlumbaan ‘Salui Lukut’, gerai komuniti, pertandingan ratu cantik, persembahan kebudayaan dan sebagainya.