Kejayaan program Parti PBB diperjelaskan pada ahli

KUCHING: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dinasihati agar memperkukuhkan aktiviti parti pada tahun hadapan.

Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sekretariat parti akan menganjurkan beberapa aktiviti bagi menyokong usaha tersebut.

“Parti PBB telah terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif sepanjang 2025,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB yang dipengerusikan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako di sini, hari ini.

Mesyuarat MT Parti PBB itu, katanya, banyak berkisar kepada kejayaan program yang dianjurkan parti di seluruh negeri ini sepanjang tahun ini.

Alexander yang juga Menteri Kerja Raya berkata, mesyuarat hari ini merupakan mesyuarat terakhir bagi tahun ini kerana parti diwajibkan mengadakan empat mesyuarat setiap tahun.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, memandangkan ini mesyuarat terakhir tahun ini, Sekretariat mengumumkan jumlah keseluruhan keahlian parti sehingga akhir tahun 2025,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Parti PBB turut meneliti program-program yang telah dilaksanakan sepanjang tahun dan parti turut terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda akan mengadakan program majlis makan malam bagi mengumpul dana untuk aktiviti mereka pada 2026.