Keluarga rumah roboh Kampung Goebilt terima bantuan

KUCHING: Kejadian tragis menimpa penduduk Kampung Goebilt apabila lantai rumah mereka roboh baru-baru ini, meninggalkan kesan kepada keluarga yang terpaksa kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata.

Dalam keperitan itu, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni menyampaikan bantuan kecemasan malam semalam, menghulurkan bantuan.

Majlis penyerahan bantuan diadakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Dato Sri Dr Wan Junaidi.

Dr Hazland kemudian menyampaikan wang tunai serta bakul makanan kepada dua ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat insiden itu.

Beliau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut turut mengingatkan pemilik rumah, terutamanya yang berada di kawasan tebingan sungai, sentiasa memastikan struktur rumah dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian serupa berulang di masa hadapan.

Dr Hazland juga menegaskan pentingnya peranan penghulu dan ketua kaum untuk terus memantau keperluan serta kebajikan mangsa yang kini ditempatkan di PPS sementara menunggu kerja-kerja pembaikan selesai.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 11 pagi itu berpunca
daripada patah palang kayu yang menahan lantai ruang tamu, menyebabkan rumah tersebut runtuh.

Dalam kejadian itu, seramai 10 orang terlibat, dengan enam daripadanya cedera dan menerima rawatan di hospital.