KUCHING: Kerajaan menzahirkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tentera Brunei yang menjumpai seorang anggota ATM yang hilang di sempadan negeri ini 19 hari lalu.
Mangsa, Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abdul Halim dari Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang, 18 Jun lalu berjaya ditemui hari ini kira-kira jam 11.29 pagi.
“Terima kasih atas usaha anggota ATM dan Tentera Brunei dalam menjalankan operasi pencarian sehingga berjaya menemui mangsa yang telah hilang selama 19 hari,” menurut Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perasmian Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu B2 (MyLesen) Peringkat P.194 Petra Jaya di Dewan Masjid Al-Abyad di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai program itu, Fadillah menggesa orang ramai agar mematuhi peraturan jalan raya memandangkan jumlah kemalangan jalan raya di Sarawak meningkat setiap tahun.
Katanya, rekod menunjukkan peningkatan 9.8 peratus kemalangan itu pada 2023 berbanding 2022.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki, ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Norizan Jili.
