KUCHING: Sejumlah 431 projek bekalan air biayaan Kerajaan Sarawak kini sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, dari jumlah tersebut, sebanyak 288 projek atau 67 peratus telah disiapkan manakala 44 projek (10 peratus) sedang dalam pembinaan dan 99 projek (23 peratus) sedang dalam perancangan.
Katanya, projek ini juga telah membantu meningkatkan liputan bekalan air terutamanya di kawasan luar bandar iaitu daripada 61.91 peratus pada 2018 meningkat kepada 70.5 peratus setakat ini.
“Ini menjadikan liputan bekalan air seluruh Sarawak sehingga kini adalah 85.4 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Julaihi berkata, Kerajaan Sarawak juga akan melaksanakan program menaik taraf dan menggantikan paip lama serta uzur sepanjang 2,742 kilometer (km) secara berfasa di seluruh Sarawak dengan kos peruntukan berjumlah RM1.085 bilion melalui tabung alternatif.
Katanya, dari jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM247 juta diperuntuk pada tahun ini untuk dilaksanakan dengan segera.
Beliau optimis dengan kemampuan agensi bekalan air untuk melaksanakan kesemua projek ini mengikut jadual.
Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sentiasa memahami dan prihatin dengan keperluan rakyat terutamanya berkenaan dengan bekalan air.
