Sarawak sedang laksana kemaskini survei kemiskinan

KUCHING: Sarawak dijangka mengumumkan angka kadar kemiskinan yang lebih tepat dan terkini bagi negeri ini pada November depan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana Sarawak sedang melaksanakan survei berhubung kemiskinan terkini di negeri ini melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“November depan, kita akan mempunyai angka yang tepat mengenai kadar kemiskinan,” katanya.

Abang Johari berkata, ini kerana terdapat tanda-tanda keadaan kemiskinan di luar bandar Sarawak kini sudah menurun dan perlu dikemaskini termasuk dalam sistem e-Kasih.

“Dalam senarai (kemiskinan) di bawah EPU, e-Kasih masih digunakan, dan orang ada kereta dan rumah berhawa dingin tetapi masih (menerima bantuan) e-Kasih,” katanya.

Sementara itu mengenai ekonomi Sarawak, Abang Johari berkata secara keseluruhan negeri ini menerima kemasukan pelaburan disebabkan penekanan kepada tenaga yang boleh diperbaharui.

“Ini akan menjadi satu daripada tarikan pelabur industri berteknologi tinggi dan bergaji tinggi untuk datang ke Sarawak,” tambahnya.