KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan perhimpunan agung parti itu pada awal tahun depan.
Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berikutan itu sebuah jawatankuasa ditubuh yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan ahli-ahli parti yang lain.
Katanya, jawatankuasa itu bagi menyelaraskan mesyuarat agung parti itu yang diadakan dari peringkat ranting, cawangan sehingga perhimpunan tersebut yang akan diadakan pada awal tahun depan.
“Sayap baharu, Belia 1828 yang berusia 18 hingga 28 tahun akan dirasmikan semasa perhimpunan itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PBB, di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB, Dato’ Sri Fadillah Yusof serta ahli-ahli MT lain.
