PETRA, KKDW cari penyelesaian projek bekalan air tertangguh di Sarawak, Sabah

KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan berbincang dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung projek bekalan air tertangguh di Sarawak dan Sabah.

Sebanyak 36 projek terbabit dengan 12 projek di Sarawak dan 24 projek (Sabah) dan perbincangan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini kerana PETRA dan KKDW menguruskan hal berkaitan air dan punca masalah itu dikenalpasti.

“Isu air di luar bandar terletak di bawah KKDW. Namun, saya sebagai menteri yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak akan berjumpa dengan mereka (KKDW) untuk mencari jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perasmian Penutupan Program Bantuan Lesen Memandu B2 (MyLesen) Peringkat P.194 Petra Jaya di Dewan Masjid Al-Abyad di sini, hari ini.

Fadillah turut mendedahkan
pengiktirafan syarikat atau agensi utiliti terlibat dalam Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) sebagai Jabatan Teknikal akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, tarikh masih dirancang dan akan ditentukan mengikut kesesuaian masa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.