KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Dato Sri Nancy Shukri hari ini menghadiri majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Yayasan Kebajikan Negara Malaysia dan UK – Malaysia KECEKAPAN Konsortium bagi Program KECEKAPAN-RISE di negeri ini.
Berucap pada majlis itu, Nancy yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) berkata, program KECEKAPAN-RISE itu merupakan projek kerjasama YKN yang julung kalinya diadakan bersama KECEKAPAN Konsortium.
KECEKAPAN Konsortium terdiri daripada University of Glasgow, University of Aberdeen, Liverpool John Moores University, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), tegas beliau.
Menurut Nancy, program itu bertujuan membantu kumpulan sasar KPWKM untuk meningkatkan kemahiran dalam aspek keusahawanan, literasi kewangan, pemasaran dan media sosial.
Program itu, tambahnya, akan dijalankan melalui kursus secara dalam talian (online) selama 12 minggu bermula September 2024 sehingga Disember 2024 dan ditaja sepenuhnya oleh British Council.
Modul pembelajaran ini memberi tumpuan kepada aspek pendidikan keusahawanan seperti asas keusahawanan, literasi kewangan, inovasi dan kreativiti, pemasaran dan media sosial selain mengandungi elemen pendidikan interaktif seperti ‘entrepreneurial game’ bersesuaian dengan keperluan kumpulan sasar KPWKM.
Dalam program ini, YKN memainkan peranan untuk mengenal pasti peserta yang bersesuaian daripada kumpulan sasar KPWKM yang terdiri daripada kumpulan B40, ibu tunggal dan OKU untuk mengikuti Program KECEKAPAN-RISE.
Manakala, KECEKAPAN Konsortium akan menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran kepada peserta serta pelaksanaan bengkel secara semuka untuk peserta pada akhir program.
