KUCHING: Setelah kontinjen Sarawak berjaya menjuarai SUKMA XXI yang melabuh tirai Sabtu lalu, kini Sarawak memburu juara Para SUKMA yang bakal berlangsung 22 September depan di sini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sehubungan itu Sarawak menyasarkan kutipan 83 pingat emas.
“Sarawak sebagai penganjur Para SUKMA Ke-21 akan menghantar seramai 213 atlet dan 115 pegawai pada temasya yang berlangsung sehingga 28 September depan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Majlis-Majlis Para SUKMA XXI Sarawak 2024 dan Kejayaan Operasi Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di sini, hari ini.
Sebanyak 15 kontinjen negeri membabitkan keseluruhan seramai 1,290 atlet dan 781 pegawai.
Atlet Sarawak juga akan bertanding di kesemua 10 jenis sukan dipertandingkan pada temasya itu membabitkan 328 acara, katanya.
Antara acara aukan itu ialah Sukan Teras (Para Olahraga, Para Powerlifting, Para Badminton, Para Renang dan Para Ping Pong).
Selain itu, Sukan Pilihan (Para Lawn Bowls, Para Memanah, Para Catur, Boccia dan Para Tenpin Bowling).
Selain itu, seramai lima atlet Sarawak mengikuti Paralimpik Paris iaitu Bonnie Bunyau Gustin (Para Powerlifting), Jong Yee Khie (Para Powerlifting) Nicodemus Manggoi Moses (Para Powerlifting), Mohamad Nur Saiful Zulkapli (Para Renang) dan Abdul Razzaq Abdul Rahman (Boccia).
