RM66 juta tangani dua projek hakisan sungai

KABONG: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM66 juta keseluruhannya bagi melaksanakan dua projek mengurangkan hakisan di Sungai Benang dan Sungai Seblak di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd. Chee Kadir berkata, pada dasarnya Kerajaan Sarawak telah meluluskan projek menandatangani hakisan pantai di negeri ini yang kini dalam peringkat pra-kelayakan tender.

Projek ini akan dilaksanakan secara berpakej dan Bahagian Betong merupakan pakej ketiga daripada lima pakej, katanya pada sesi randau berkenaan Muara Sungai Bubus, Alit dan tinjauan masalah hakisan tanah di Tebingan Sungai Seblak dekat Kampung Sungai Benang di sini, hari ini.

Menurut Chee Kadir, antara projek yang terlibat di dalam pakej Bahagian Betong adalah projek Rumah Ek dan Rumah Betty di Kabong.

Projek rancangan memulihkan Koridor Sungai Seblak di Kampung Sungai Benang telah diluluskan dengan harga siling baharu berjumlah RM21 juta, tegas beliau.

Beliau berkata kenaikan kos RM6 juta daripada harga siling asal RM15 juta untuk memberi penyelesaian jangka panjang bagi perlindungan penuh tebing Sungai Benang daripada hakisan.

Chee Kadir memberitahu projek saluran lencongan Sungai Seblak di Kampung Sungai Benang dan Empayang, juga diluluskan dengan harga siling sebanyak RM45 juta untuk mengurangkan hakisan di sepanjang Sungai Seblak.