LAWAS: Isu berkaitan perhubungan jalan raya dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini akan dibawa kepada menteri yang bertanggungjawab.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Dato Johari Abdul memberi jaminan itu selepas menerima laporan berkaitan isu terbabit semasa lawatan kerjanya ke daerah Lawas.
“Insyallah… kita akan bawa masalah berkaitan perhubungan khususnya jalan raya dan MRSM Lawas yang sampai sekarang belum dilaksana kepada menteri bertanggungjawab.
“Di Kuala Lumpur nanti kita akan jumpa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi untuk masalah MRSM Lawas agar dilaksanakan segera,” katanya pada majlis perjumpaan dengan masyarakat Ulu Trusan di Da Sango, di sini.
Johari turut memberitahu isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong juga akan diberi perhatian khusus.
Pada masa sama, beliau memuji sikap toleransi masyarakat berbilang kaum dan latar belakang di Lawas.
Ini merupakan gambaran amat baik bagi menggambarkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak keseluruhannya, tegas beliau.
“Sangat unik sekali kerana mereka itu terdiri daripada berbagai kaum, bahasa dan jenis makanan yang berbeza tetapi dapat duduk bersama dan saling menghormati.
“Ini sesuatu yang perlu kita bawa ke semenanjung untuk kita kikis persepsi antara kaum yang semakin kronik akibat politik perkauman,” tambahnya.
Turut mengiringi beliau ke Da Sango di Ulu Trusan ialah Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan, Puncak Borneo dan Ahli Parlimen dari semenanjung.
