ROBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menyantuni mangsa kebakaran Rumah Spencer Biju Ulu Sebetan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Roban di sini, hari ini.
Walaupun rumah panjang Spencer Biju Ulu Sebetan itu terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, namun atas rasa simpati dan ikhlas, beliau turut membantu mangsa berkenaan.
Sambil menzahirkan rasa simpati atas musibah yang berlaku di Rumah Spencer Biju Ulu itu sehingga meranapkan keseluruhan rumah panjang tersebut.
Mohamad Duri turut memuji Pejabat Daerah Kecil Roban, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Saratok, RELA Saratok, PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sentiasa membantu dan memantau di PPS Dewan Masyarakat Roban.
Beliau juga memuji penglibatan ramai badan bukan kerjaaan (NGO) yang turut membantu meringankan beban penduduk pumah panjang Spencer Biju Ulu Sebetan.
Mohamad Duri menghulurkan bantuan berupa bakul makanan kepada penghuni rumah panjang yang berada di PPS Dewan Masyarakat Roban.
“Saya berharap seluruh keluarga mangsa bersabar dan kuatkan semangat dan tabah menghadapi dugaan ini. Biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat meringankan beban,” tambahnya.
Seramai 105 penghuni daripada 26 keluarga hilang tempat tinggal selepas Rumah Spencer, Ulu Sebetan, dekat sini musnah dalam kebakaran 21 Ogos lalu.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 12.40 tengah hari itu membabitkan sebanyak 26 pintu rumah panjang dua tingkat jenis struktur separuh kekal dan terbakar hampir 100 peratus.
