KUCHING: Sarawak mengalu-alukan kolaborasi dengan pertubuhan antarabangsa dan negara-negara lain di wilayah Asia-Pasifik dalam melaksanakan inisiatif Pemuliharaan Landskap Hutan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kolaborasi yang diperlukan Sarawak itu merangkumi rancangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta membangunkan teknologi dalam usaha meningkatkan kualiti pokok dan bahan tanaman.
“Di Malaysia, Sarawak berada di hadapan dalam peralihan ekonomi rendah karbon,” katanya sempena Persidangan Pemuliharaan Landskap Hutan Wilayah Asia-Pasifik di sini, hari ini. Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Persidangan itu adalah usaha kolaborasi antara Jabatan Hutan Sarawak dan Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO).
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber dan Pembangunan Bandar Kedua menegaskan, usaha rintis dalam pengeluaran Bahan Bakar Penerbangan Mampan (SAF) dan menerokai teknologi perangkap, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) membuktikan komitmen Sarawak menerajui kelestarian alam sekitar dan transformasi ekonomi.
Dengan melaksanakan penyelesaian inovatif itu, beliau berkata, Sarawak bukan hanya menangani kesan perubahan iklim tetapi juga mewujudkan industri baharu dan pekerjaan berkualiti tinggi.
Rancangan pembangunan mampan dan pemeliharaan Sarawak, tambahnya, turut mendapat pengiktirafan dunia apabila dua taman negara iaitu Taman Negara Mulu dan Taman Negara Niah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.
Pembangunan ekonomi sangat penting untuk Sarawak di samping melindungi dan memelihara sumber semula jadinya, kata Awang Tengah.
Beliau menegaskan, daripada seluas 7.65 juta hektar tanah di negeri ini, sejumlah 62% masih diliputi hutan dan Sarawak menyumbang 42% daripada sejumlah 18.05 juta hektar hutan di seluruh negara.
Kerajaan Sarawak, katanya, komited melindungi hutan hujannya yang menyokong biodiversiti dan warisan kebudayaan.
Di bawah Ordinan Dasar Penggunaan Tanah Sarawak, sejumlah 7 juta hektar kawasan hutan negeri diperuntukkan untuk perhutanan mampan dan tujuan pemeliharaan dengan memperkenalkan amalan Pengurusan Hutan Mampan (SFM).
SFM adalah rancangan dalam mengimbangi ekonomi, sosial dan kemampanan alam sekitar untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat, mewujud peluang pekerjaan dan melindungi alam sekitar, katanya.
Tujuannya untuk meningkatkan ekonomi melalui peningkatan produktiviti hutan dan khidmat ekosistem sambil menangani kesan perubahan iklim, tegas beliau dan menambah, Sarawak meletakkan syarat kepada semua lesen hutan jangka panjang mendapatkan sijil pengurusan hutan (FMC).
Setakat ini, 26 unit Pengurusan Hutan (FMU) dan lapan Unit Pengurusan Ladang Hutan (FPMU) masing-masingnya meliputi kawasan seluas 2.38 juta hektar dan 122,800 hektar telah dilesenkan, katanya.
Bagi menjamin kejayaan inisiatif pemeliharaan hutan, Kerajaan Sarawak mahu semua pemegang lesen hutan melaksanakan usaha pemeliharaan di kawasan masing-masing dengan memberi perhatian kepada hutan yang telah ditebang.
Beliau yakin rancangan pemuliharaan landskap hutan di Sarawak akan meningkatkan ekosistem hutan dengan menyokong kelestarian flora dan fauna dan meningkatkan mutu kehidupan.
