Sarawak, Australia boleh jadi rakan kongsi pacu peralihan tenaga

AUSTRALIA: Potensi melaksanakan simpanan tenaga hidro pam (PHES) di Sarawak sangat luas sejurus terbukti boleh dilakukan, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.

Beliau berkata, sejurus contoh pertamanya berjaya dilakukan, lebih banyak tapak akan dikenal pasti.

Perbincangan yang diadakan di sini hari ini akan membantu Sarawak menentukan cara terbaik menggabungkan PHES ke dalam sistem tenaga Sarawak, katanya pada majlis libat urus Jabatan Hal Ehwal Luar dan Dagangan Australia di sini.

Julaihi berkata, berdasarkan perbincangan awal dengan P41 dan Profesor Andrew Blakers dari Australian National University (ANU), potensi PHES Sarawak adalah tinggi dan boleh dijadikan sebahagian daripada usaha berterusan ke arah tenaga diperbaharui dan hijau Sarawak.

Dua tapak berpotensi dikenal pasti sebagai kajian yang membolehkannya untuk dilaksanakan dengan sokongan daripada P41, katanya.

Satu daripada kemudahan itu dirancang dibangunkan antara loji hidroelektrik Bakun dan Murum dan satu lagi akan dibina di kawasan Padawan, tegas beliau.

Malah Sarawak dan Australia boleh belajar secara bersama dalam bidang kolaborasi dan rakan kongsi dalam memacu peralihan tenaga di wilayah masing-masing, katanya.