Kuching bandar raya terkenal menjelang tahun 2030

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sedang giat menerus dan melaksanakan Pelan Peningkatan CBSSS (Bersih, Cantik, Selamat, Pintar, Lestari) sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Kerajaan Negeri.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pelaksanaan CBSSS itu merupakan inisiatif mengagumkan kerana memberi fokus kepada penglibatan komuniti.

Penekanan kepada lima teras (CBSSS) itu penting untuk menjadikan bandar raya Kuching sebagai sebuah bandaraya lestari dan maju yang terkenal di Asia menjelang 2030, katanya berucap pada Perhimpunan Khas DBKU Bersama Menteri DBKU 2024 di sini.

Beliau percaya pelan itu sejajar dengan PCDS 2030 dalam memastikan Sarawak menjadi tempat terbaikmembina kehidupan.

“Ini bermaksud tempat terbaik untuk berkeluarga, mempunyai masyarakat yang penyayang dan harmoni, sistem ekonomi digital yang kukuh, alam sekitar yang lestari, sistem perkhidmatan kesihatan terbaik dan berkemampuan,” tegas beliau.

Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menegaskan, pelan itu mengintegrasi semua inisiatif CBSSS dan menggariskan strategi, pelan tindakan dan indikator prestasi utama.

Penglibatan komuniti bukan hanya warga kota sahaja tetapi juga agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, tegas beliau.

Melalui perkongsian yang pintar dan penglibatan komuniti, beliau yakin, DBKU mampu memupuk semangat kekitaan dan tanggungjawab dalam kalangan masyarakat untuk memastikan bandaraya ini menjadi sebuah bandaraya yang cantik, bersih, selamat, pintar dan lestari.

Menurut beliau lagi, penglibatan menyeluruh itu sekali gus boleh meningkatkan imej serta ekonomi bandaraya ini melalui sektor pelancongan, komersial dan pelaburan.

Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman dan Pengarah DBKU, Mohd, Khaidi Abang.