KUCHING: Sebanyak 2,218 Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak (IPAKK) di seluruh negeri mendapat peruntukan berjumlah RM11.05 juta daripada sejumlah RM14 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak di bawah inisiatif Geran Tahunan Khas (GTK) tahun 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Keluarga, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, GTK merupakan insiatif Kerajaan Sarawak bagi membantu pengusaha IPAKK (taska dan tadika) berdaftar meningkatkan kualiti perkhidmatan asuhan, bimbang dan didikan awal kanak-kanak.
Peruntukan berkenaan bagi membantu menjayakan program pembelajaran mesra, pemakanan sihat dan seimbang kanak-kanak di taska dan tadika, katanya pada Majlis Konvokesyen Kolej SIDMA Sarawak Kelapan di sini.
Fatimah menegaskan, GTK itu juga bertujuan menjayakan program pembangunan profesionalisme berterusan pendidik dan pengaruh, program melibatkan ibu bapa dan program lawatan dan pembelajaran amali kanak-kanak.
Manakala Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak sejak 2023 telah memanfaatkan seramai 1,848 kanak-kanak melibatkan perbelanjaan berjumlah RM1.75 juta.
Untuk tahun 2024, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.5 juta bagi tujuan yang sama, katanya.
Kanak-kanak perlu didedahkan kepada meneroka pengalaman melalui aktiviti luar seperti lawatan untuk belajar daripada keadaan sebenarnya, tegas beliau.
Dengan adanya peruntukan GTK pada 2024, beliau berkata, ia perlu digunakan sebahagiannya untuk lawatan dan aktiviti pembelajaran amali.
Sementara itu, seramai 97 graduan menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan 18 graduan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada majlis konvokesyen di Dewan Tuanku Abdul Halim Muadzman Shah itu.
Kolej SIDMA merupakan sebuah daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri ini yang menawarkan kursus Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
