CANBERRA, Australia: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta rombongan yang melawat Australia, semalam menjelajah kemudahan rekreasi hutan di Ladang Hutan Penrose di sini.
Kemudahan di ladang hutan itu termasuk kawasan rekreasi pengembaraan, perkelahan dan program pendidikan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam memulihara hutan.
Ini penting untuk dasar perhutanan mampan Sarawak susulan pengenalan Ameniti Hutan melalui pindaan Ordinan Hutan 2022, katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, Sarawak komited dalam menjamin bekalan bahan mentah mampan untuk industri berasaskan kayu sambil meneruskan inisiatif memelihara hutan asli.
Ladang hutan terbabit bukan hanya untuk kawasan pengeluaran kayu tetapi juga menilai kawasan rekreasi bagi penduduk, tegas beliau
Lawatan ke ladang itu, kata Awang Tengah untuk menggalak kolaborasi di peringkat antarabangsa dalam pengurusan hutan mampan dan memulihara alam sekitar melalui pertukaran ilmu pengetahuan dan amalan terbaik.
Ladang Hutan Penrose terletak di Selatan Tableland, New South Wales, terkenal sebagai ladang hutan pokok pine yang diurus dengan baik.
Meliputi kawasan lebih 1,000 hektar, ladang terbabit sangat penting untuk penyelidikan, rekreasi dan pengeluaran kayu mampan.
Diurus oleh Perbadanan Perhutanan New South Wales, ia adalah contoh kepada amalan perhutanan moden, mengimbangi pemuliharaan ekologikal dengan pengurusan perhutanan komersial.
Lawatan ke ladang itu, mengetengahkan pendekatan inovatif dalam pengurusan hutan secara mampan, pengeluaran kayu mampan, pemuliharaan biodiversiti, penyerataan masyarakat dan rekreasi.
Ladang Hutan Penrose adalah kawasan pengeluaran kayu mampan terkemuka dengan menggunakan kaedah sivikultur termaju bagi menjamin kesihatan dan daya pengeluaran hutan.
Awang Tengah dan rombongan menyaksikan kitaran hidup pengeluaran kayu daripada menanam hingga menuai dan mempelajari cara amalan kemampanan bagi mengurangkan kesan ke atas alam sekitar.
Mereka turut diberi taklimat mengenai usaha memulihara biodiversiti hutan yang menunjukkan perhutanan mampan boleh dikongsi bersama dengan pemeliharaan habitat semula jadi.
Turut menyertai rombongan itu ialah Ketua Hakim Negeri, Datu Saferi Ali, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Jabatan Hutan, Datu Hamden Mohammad, kontroler NREB, Jack Liam, Pengurus Besar STIDC, Zainal Abidin Abdullah, Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran dan Pengurus Besar Harwood Timber Sdn Bhd, Abu Hassan Yusuf.
