Mesyuarat agung ranting, cawangan perlu selesai selewat-lewat Disember ini

KUCHING: Semua ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak diarah untuk mengadakan mesyuarat agung masing-masing mulai hari ini sehngga 31 Oktober depan.

Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, sejurus mesyuarat agung ranting masing-masing selesai akan disusuli mesyuarat cawangan di seluruh negeri ini.

“Mesyuarat tersebut di kesemua 82 cawangan akan diadakan mulai 1 November hingga 31 Disember depan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Persiapan Perhimpunan Agung Parti PBB Ke-16 di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, di sini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang di-Pertua Kanan parti, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya merangkap Setiausaha Agung, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi serta sebahagian Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Douglas Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak menegaskan, mesyuarat hari ini membincangkan persiapan mengadakan perhimpunan agung parti yang masih belum diputuskan tarikhnya. Perhimpunan itu dijangka diadakan pada awal tahun depan.

“Kita akan mengadakan mesyuarat sekali lagi pada minggu pertama September bagi menentukan tarikh perhimpunan itu. Tarikh itu akan dikemukakan kepada Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti bagi mendapat persetujuan beliau,” katanya.

Beliau menambah, surat rasmi mengarahkan semua ranting dan cawangan mengadakan mesyuarat agung masing-masing telah diedarkan.

“Pada mesyuarat hari ini, kita turut membincangkan untuk menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa berkaitan seperti urusetia, publisiti, pengangkutan, penginapan, pameran dan jualan,” katanya.