KUCHING: Seramai 67,508 usahawan desa berdaftar dengan agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di seluruh negara setakat ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata kebanyakan usahawan itu
kategori Pico yang memperoleh pendapatan jualan kurang dari RM60,000 setahun.
“Sehingga 85 peratus adalah (usahawan kategori) Pico, maksudnya pendapatan untuk sara hidup sahaja dan cukup makan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pendigitalan Usahawan di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Sejingkat, di sini, hari ini.
Rubiah berkata, sekiranya pendapatan jualan usahawan terbabit ditingkatkan hingga melebihi RM150,000 setahun maka mereka dikategorikan sebagai usahawan kecil dan sederhana.
“Sebab itulah kita mengadakan program untuk memastikan daya saing usahawan kita dapat ditingkatkan dan selain (program) pembiayaan ialah latihan pendigitalan,” tambahnya.
Beliau sehubungan itu mendedahkan pihaknya mensasarkan melatih seramai 4,000 usahawan desa melalui Program Pendigitalan Usahawan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan belanjawan dalam lingkungan RM20 juta.
Katanya, seramai 3, 249 usahawan desa telah dilatih melalui program itu sejak dilaksanakan tiga tahun lalu dan sebanyak 6,000 produk usahawan terbabit telah dimasukkan dalam rekod sistem dagang kementerian itu iaitu desamall.
