Maulidur Rasul lambang cinta umat Islam pada Rasulullah SAW

KUCHING: Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak hari ini diraikan dengan hampir 9,600 peserta daripada 209 kontinjen menyertai perarakan sekali gus mencerminkan kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah SAW.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, sambutan ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya ruang untuk umat Islam menilai kembali sumbangan dan warisan yang ingin ditinggalkan kepada generasi akan datang.

“Marilah kita meneladani akhlak Nabi Muhammad SAW, memperkukuh jati diri, mempererat perpaduan serta menyumbang tenaga dan idea untuk Sarawak yang maju dan makmur,” katanya ketika berucap pada perhimpunan itu, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof serta barisan Kabinet negeri.

Dr Abdul Rahman menegaskan, Majlis Islam Sarawak (MIS) yang menganjurkan sambutan berkenaan akan terus memperkukuh peranan dalam pentadbiran Islam yang progresif, berwibawa dan berlandaskan syarak.

Sejak penubuhan pada 1955, MIS menjadi tonggak dalam memperkasa pengurusan hal ehwal Islam di negeri ini.

Beliau turut menyatakan, sempena ulang tahun ke-70 penubuhannya, MIS merancang pelbagai pengisian sebagai penghargaan terhadap pencapaian terdahulu, termasuk sambutan kali ini yang dianjurkan dengan skala lebih besar.