Tingkatkan pengetahuan teknologi bantu bendung berita palsu

KUCHING: Belia perlu menguasai kemahiran teknologi digital bagi membendung penularan berita palsu yang semakin berleluasa dan berpotensi menggugat kestabilan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, kecanggihan teknologi komunikasi pada masa kini membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk menghasilkan kandungan seolah-olah mereka pakar, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

“Maklumat benar boleh ditokok tambah dengan perkara separa benar atau palsu sehingga mencetuskan kemarahan rakyat dan mendorong kepada protes tidak aman. Inilah yang berlaku di negara jiran dan kita perlu mengambil iktibar agar negara terus kekal stabil serta harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kembara Segulai Sejalai Belia Sarawak 2025 di Masjid Darul Aqsa, Segedup, di sini, hari ini.

Menurut Fadillah, penguasaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) semakin mendesak, bukan sahaja untuk menghadapi cabaran global tetapi juga bagi meningkatkan kemampuan masyarakat membezakan maklumat sahih daripada manipulasi digital.

Katanya, pengalaman beliau sendiri pernah dijadikan bahan apabila wajah dan suaranya dipalsukan dalam rakaman video promosi produk.

“Situasi ini menegaskan betapa pentingnya kita meningkatkan pengetahuan teknologi agar tidak mudah terpedaya dengan maklumat palsu,” ujarnya.

Program Kembara Segulai Sejalai Belia Sarawak 2025 yang berlangsung dari 5 hingga 14 September ini melibatkan penyertaan mahasiswa dan belia di tujuh lokasi seluruh negeri termasuk Kuching, Sri Aman, Bintangor, Kanowit, Mukah, Bintulu dan Miri.