BELAWAI: Amalan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu dijadikan budaya masyarakat bagi membendung peningkatan penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, penyakit tidak berjangkit kini menjadi antara cabaran utama negara kerana kebanyakannya dikesan pada peringkat lewat sehingga menjejaskan kualiti hidup pesakit.
Menurutnya, jumlah penghidap diabetes dan hipertensi di Malaysia menunjukkan trend membimbangkan.
Sarawak turut merekodkan kadar tinggi, malah ramai tidak menyedari keadaan mereka akibat kurang pendedahan serta enggan menjalani saringan awal, katanya.
“Kesihatan adalah asas kepada kekuatan masyarakat. Jika ia diabaikan, kesannya bukan sahaja kepada individu, tetapi juga keluarga dan ekonomi negara,” katanya ketika merasmikan Program Perpaduan Dalam Kesihatan di Kampung Belawai, hari ini.
