Projek Hospital Pengajar, Hospital Kesihatan Prima UNIMAS dijangka siap 2026

KOTA SAMARAHAN: Projek pembinaan Hospital Pengajar dan Hospital Kesihatan Prima Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Fasa Kedua kini siap 66.17 peratus, lebih awal daripada jadual asal.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek bernilai RM489 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada 12 November 2026 dengan kapasiti 300 katil.

Katanya, hospital tersebut akan menyokong pengajian perubatan di UNIMAS dan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar Samarahan, Kuching, Serian dan Sri Aman.

“Lebih awal ia siap, lebih baik kerana kemudahan ini bukan sahaja untuk mahasiswa, malah kegunaan rakyat,” katanya selepas meninjau kemajuan projek berkenaan, hari ini.

Beliau turut berharap kontraktor, konsultan dan JKR dapat menyiapkan projek dengan cepat dan berkualiti.

Ahmad Maslan menjelaskan, fasa pertama melibatkan Pusat Kesihatan Prima telah siap dan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi pada Jun lalu. Fasiliti itu berfungsi sebagai pusat rawatan harian dengan pelbagai kemudahan klinik, makmal, surau, kafeteria dan pusat jagaan kanak-kanak.

Fasa kedua pula membabitkan pembinaan Hospital Pengajar yang dilengkapi kepakaran perubatan, pembedahan, pediatrik dan psikiatrik. Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina oleh Perbena Emas Sdn. Bhd. dengan pemantauan JKR sebagai agensi pelaksana.

Beliau memaklumkan Hospital Petra Jaya yang bernilai RM410 juta kini mencapai 81.6 peratus kemajuan dan dijangka siap pada 23 Februari 2026, sekali gus menambah fasiliti kesihatan untuk penduduk sekitar Kuching dan Samarahan.