KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) telah membantu lebih 45,500 usahawan.
Ia membabitkan nilai bantuan sebanyak RM199.49 juta dari 2021 hingga suku pertama 2025.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bantuan itu disalurkan melalui program seperti Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK).
Program yang lain ialah Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Go Digital, program keusahawanan asas, teknikal dan digital serta promosi produk dan akses pasaran melalui ekspo dan pameran di peringkat nasional dan antarabangsa, katanya pada mesyuarat Jawatankuasa Induk Penyelarasan Pembangunan Usahawan Sarawak (SEDCC) di sini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan pada majlis itu turut menyaksikan penyerahan dana tambahan sebanyak RM5 juta kepada Agrobank bagi pelaksanaan SKMS 2025.
Setaiusaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron menyerahkan dana berkenaan kepada Pengarah Wilayah Agrobank, Wilayah Sarawak, Abdul Halex Abdullah.
Beliau berkata, selain MINTRED, agensi seperti SME Corp Malaysia, SME Bank, MARA, TEKUN, SKM, TEGAS, SDEC, STIDC dan agensi-agensi lain, juga telah melaksanakan program keusahawanan dan membantu lebih 177,000 usahawan Sarawak dengan nilai bantuan RM2.6 billion.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan, Datuk Ripin Lamat, Penasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana MINTRED, Dato Sri Mohd. Naroden Majais, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil MINTRED, Zamrud Yahya, CEO SME Corp Malaysia, Rizal Dato Nainy
