AgroBank sedia bantu petani

KUCHING: AgroBank dan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan memperkasakan golongan petani di seluruh negeri ini melalui sokongan kewangan yang komprehensif.

Majlis memeterai MoU itu diadakan pada majlis sambutan Aidilfitri AgroBank Wilayah Sarawak di sini, semalam.

Pengerusi PPNS, Gom Raway mewakili PPNS dan AgroBank diwakili Pengawai Wilayahnya, Abdul Halek Abdullah.

Perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AgroBank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Pegawai Perniagaan AgroBank, Syed Haimi Syed Fadzil.

Tengku Ahmad Badli berkata, kerjasama strategik itu menawarkan penyelesaian kewangan yang dapat memenuhi keperluan komuniti tani di Sarawak.

Melalui sokongan perniagaan, katanya, AgroBank berhasrat untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai usahawan dalam industri makanan seterusnya menjamin kelangsungan agenda makanan negara.

Beliau menegaskan, pembiayaan yang ditawarkan AgroBank meneruskan kepada aktiviti pertanian yang mampan.

“Ia merangkumi spektrum aktiviti pertanian yang luas, dari mekanisasi dan pertanian pintar yang berkaitan dengan ekonomi digital, pemprosesan berasaskan pertanian, inisiatif bioteknologi, operasi ternakan, hingga kepada usaha agro pelancongan.

“Kami komited untuk menyokong keseluruhan ekosistem pertanian,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan yang berorientasikan pelanggan, fokus utama AgroBank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian.