Nahas FDS Long Lellang: Pengorbanan ‘Wings of Mercy’ kekal terpahat

KOTA SAMARAHAN: Tragedi nahas helikopter, perkhidmatan doktor udara (FDS) di Long Lellang, Baram, bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga lima mangsa, malah turut dirasai bekas petugas yang pernah menyertai misi perubatan udara di pedalaman Sarawak.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Dr Ahmad Hata Rasit, yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan muda di Hospital Betong pada 1996, menyifatkan tragedi itu sebagai kehilangan rakan seperjuangan yang amat memilukan.

Menurut beliau, pengalaman menyertai misi FDS hampir tiga dekad lalu masih segar dalam ingatan, terutama peranan helikopter sebagai ‘wad terbang’ yang membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar diakses melalui jalan darat.

“Di celah desingan bilah kipas dan getaran kabin, kami merentasi belantara Sarawak untuk membawa talian hayat kepada mereka yang terasing daripada kemudahan asas,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Beliau berkata, misi FDS ketika itu menuntut petugas perubatan bekerja dalam keadaan serba mencabar tanpa kemudahan hospital yang lengkap, sebaliknya hanya bergantung kepada ilmu, keberanian dan tekad untuk memastikan masyarakat di ceruk rimba mendapat rawatan.

Nahas berkenaan mengorbankan lima insan yang sedang melaksanakan misi perkhidmatan perubatan, iaitu juruterbang Kapten Zainol; Pegawai Perubatan Dr Ainul Baroah Kamaruddin; Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.

Prof Dr Ahmad Hata menyifatkan Kapten Zainol sebagai juruterbang cekal yang mengemudi pesawat BO-105 merentasi bentuk muka bumi Sarawak yang mencabar bagi memastikan pasukan perubatan dapat tiba di destinasi.

Dr Ainul Baroah Kamaruddin pula dikenang sebagai pegawai perubatan berdedikasi yang berpindah ke Miri demi tugas dan keluarga, manakala Alexson Adit merupakan antara tonggak operasi klinikal pasukan di lapangan.

Dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya, katanya, turut memainkan peranan penting dalam misi berkenaan dengan membawa ubat, rawatan serta sentuhan kemanusiaan kepada penduduk di pedalaman.

Menurut beliau, FDS berperanan sebagai talian hayat perkhidmatan kesihatan kepada 97 lokaliti terpencil di daerah Kapit, Miri dan Limbang yang sukar dihubungkan melalui jalan darat.

Katanya, kawasan seperti Ba Lai dan Long Siut antara lokasi yang menyaksikan khidmat pasukan perubatan udara membawa akses kesihatan lebih dekat kepada masyarakat pedalaman.

Bagi Prof Dr Ahmad Hata, pengalaman bertugas di Betong sekitar 30 tahun lalu terus menjadi kompas moral dalam perjalanan kerjayanya daripada seorang pegawai perubatan muda sehingga menerajui institusi pendidikan tinggi.

Pengalaman itu, katanya, mengajarnya bahawa ilmu perubatan dan pendidikan tidak seharusnya terhenti di bilik kuliah atau buku teks, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui bakti dan khidmat kepada masyarakat.

Beliau turut menggesa pelajar UNIMAS dan generasi muda supaya menjadikan pengorbanan lima petugas FDS berkenaan sebagai inspirasi untuk terus berbakti.

“Ilmu yang anda timba adalah jambatan bakti. Berkhidmatlah dengan hati, dan teruskan warisan wira-wira angkasa ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan insan tersayang.

“Sarawak berduka, namun nama kalian akan sentiasa dipahat sebagai wira tanah air yang berbakti sehingga ke helaan nafas terakhir,” katanya.