Sel regeneratif buka laluan baharu rawatan penyakit kompleks

KUCHING: Sarawak melihat penyelidikan sel regeneratif sebagai bidang berpotensi membuka pendekatan baharu dalam menangani penyakit kompleks, khususnya kanser.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, potensi itu perlu diterokai menerusi penyelidikan bioperubatan dan teknologi sains hayat.

“Saya berharap para pakar dan penyelidik dapat meneroka potensi bidang ini, termasuk dalam usaha mencari penyelesaian terhadap penyakit yang kompleks, khususnya kanser,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Sarawak SHINE 2026, di sini, hari ini.

Menurut beliau, bahan asas biologi yang berjaya dibangunkan sebagai platform sel regeneratif berpotensi menghasilkan pendekatan baharu dalam menangani pelbagai penyakit.

“Sekiranya bahan asas biologi dapat dibangunkan sebagai platform sel regeneratif, terdapat potensi besar untuk kita meneroka pendekatan baharu dalam menangani pelbagai penyakit,” tambahnya.

Potensi penyelidikan itu turut disokong kekayaan biodiversiti Sarawak, termasuk kawasan hutan yang meliputi kira-kira 60 peratus keluasan negeri.

Dalam masa sama, kerjasama antara Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) dan Bioteknologi Selangor menyokong pembangunan Pelan Hala Tuju Bioekonomi dan Bioteknologi Sarawak 2026–2035.

Pelan berkenaan memberi tumpuan kepada penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan bagi membentuk ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi bernilai tinggi.

Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dengan Institut Pasteur du Cambodge (IPC) serta Pusat Kebangsaan Kejuruteraan Genetik dan Bioteknologi (BIOTEC), Thailand, bagi kerjasama serantau dalam penyelidikan penyakit berjangkit, pemantauan dan pembangunan kapasiti.