Pameran Hari Malaysia singkap sejarah negara

KUCHING: Pameran sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 di Sarawak bakal memberi peluang kepada masyarakat memahami dengan lebih jelas sejarah serta proses pembentukan Malaysia berdasarkan dokumen dan fakta sejarah.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdullah Saidol berkata, pameran utama diadakan di Plaza Merdeka, di sini berlangsung dari 10 hingga 16 September ini.

Jelasnya, pameran itu mengetengahkan perjalanan pembentukan Malaysia melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura.

“Pameran mengetengahkan tokoh penting serta dokumen berkaitan proses pembentukan Malaysia.

“Ia merangkumi rundingan dengan British, dokumen yang ditandatangani serta perkara berkaitan Perlembagaan dan identiti negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi pratonton Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 Bersama Media di ruang legar Plaza Merdeka di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said dan Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan.

Abdullah turut diberi penerangan mengenai pameran oleh Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak, Afham Jauhari Aldi,Pustaka Negeri Sarawak, Dr.Dayangku Horiah Awangku Gani dan dari Jabatan Penerangan (JAPEN), Noralia Harun.

Tambahnya, pameran mini dengan kandungan berkaitan turut diadakan di 10 bahagian di seluruh Sarawak bagi membolehkan masyarakat di luar Kuching mendalami sejarah pembentukan negara.

Pada masa sama, beliau mengesa rakyat Malaysia menjadikan sambutan 16 September sebagai detik memperkukuhkan semangat kekitaan, patriotisme serta rasa bangga terhadap Jalur Gemilang sebagai lambang maruah dan kedaulatan negara.

“Sempena sambutan tahun ini, majlis kesyukuran bagi umat Islam serta penganut agama lain turut menjadi sebahagian daripada pengisian.

“Ini mencerminkan keunikan keharmonian masyarakat berbilang agama di Sarawak,” katanya.

Kemuncak Sambutan Hari Malaysia 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September ini dengan acara rasmi termasuk pengibaran Jalur Gemilang dan nyanyian lagu kebangsaan serta persembahan hiburan.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI