SADONG JAYA: Projek naik taraf talian elektrik ke Sistem Medium Voltage Covered Conductor (MVCC) merentasi daerah Sadong Jaya, Simunjan, Sebuyau sehingga Gedong dijangka siap menjelang Disember 2028.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sistem MVCC ini menggunakan teknologi berpenebat dan terlindung sepenuhnya bertujuan meminimum masalah luar jangka seperti sentuhan dahan pokok atau hidupan liar yang sering menjadi punca bekalan elektrik terputus sebelum ini.
Katanya, pelaksanaan naik taraf ke sistem MVCC dengan kos RM150 juta itu dibiayai Kerajaan Sarawak bermula dari daerah Asajaya/Sadong Jaya menuju Jambatan Batang Sadong terus ke Sebuyau dan satu lagi simpang menuju ke Simunjan dan Gedong.
Projek tersebut sepanjang 124 kilometer (km) melibatkan 1,660 tiang elektrik, katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan hari ini.
Julaihi berkata, sehingga kini sebanyak 106 tiang elektrik sudah dipasang dan akan didirikan secara berperingkat oleh kontraktor yang dilantik, Showfield Sdn Bhd, di bawah seliaan Sarawak Energy Berhad (SEB) melalui Syarikat SESCO Berhad (SESCO).
Beliau menjelaskan, projek membabitkan pemasangan kabel berkembar dasar sungai sepanjang 1.8 km berhampiran Jambatan Batang Sadong yang ditimbus di bawah dasar sungai sedalam 1.5 meter ang hampir siap dipasang bagi tujuan keselamatan.
Sehubungan itu, pihak berkuasa turut mengingatkan pengusaha logistik maritim dan pemilik kapal agar tidak berlabuh di kawasan larangan sepanjang laluan kabel tersebut.
Katanya, ini bertujuan mengelakkan implikasi atau kerosakan terhadap aset utiliti berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sarawak Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Ketua Pegawai Eksekutif SESCO Yusri Safri, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) Syed Fauzi Shahab, Pengarah Bahagian Elektrik, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Muhammad Randie Abdullah dan Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang.
