Program Sarawak Women@Work bantu wanita tingkatkan ekonomi, potensi diri

BETONG: Penerima Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) dan usahawan wanita di bahagian ini harus memanfaatkan peluang menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran menerusi Program Sarawak Women@Work.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, program tersebut membantu memperkukuhkan agenda pemerkasaan wanita melalui peluang pekerjaan, sokongan keusahawanan serta latihan peningkatan kapasiti.

Beliau berkata, program dua hari itu dilaksanakan selaras aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi dan pasaran pekerjaan.

“Objektif program untuk memperluaskan peluang pekerjaan dan keusahawanan menerusi pelesenan perniagaan, geran serta bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Sarawak Women@Work Bahagian Betong di Dataran Medan, hari ini.

Sebanyak 12 agensi kerajaan dan rakan strategik membuka kaunter konsultansi bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pendaftaran pelesenan, permohonan geran, bantuan keusahawanan dan khidmat nasihat kepada orang ramai.

Kerjasama itu turut melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersama lima majikan iaitu Seri Simanggang Hotel, Sheraton Kuching Hotel, TH Plantations Berhad, Mercure Hotel dan Imperial Hotel Miri yang menawarkan peluang pekerjaan secara bersemuka dan hibrid.

Seramai 70 usahawan wanita menyertai latihan pengupayaan kapasiti anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC).

Pada majlis sama, sembilan penerima menerima simbolik Bantuan KIRWaS daripada keseluruhan 20 penerima.