Lebih 27,000 ketua isi rumah wanita direkod di Sarawak

KUCHING: Sarawak merekodkan lebih 27,000 ketua isi rumah wanita berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, jumlah berkenaan sekali gus mencerminkan keperluan berterusan untuk memperkasakan golongan wanita, khususnya ibu tunggal.

“Angka itu bukan sekadar statistik, sebaliknya menggambarkan perjuangan ribuan wanita yang berusaha menyara keluarga dan membesarkan anak-anak.

“Memperkasakan ibu tunggal bukan sekadar agenda kebajikan, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang demi masa depan keluarga, masyarakat dan negara,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 di Hotel Grand Continental di sini , hari ini.

Justeru jelasnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi tujuan berkenaan.

Tambahnya, antara program adalah KasihnITa yang bertujuan membantu ibu tunggal meningkatkan kemahiran, keyakinan diri dan keupayaan menjana pendapatan.

KPWKM menerusi program KasihnITa jelas Nancy turut menawarkan bantuan guaman, pengurusan kewangan dan perkongsian ilmu bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

“Program ini julung kali diadakan di Sarawak berjaya menghimpunkan 133 peserta.

” Pelbagai agensi termasuk Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara Malaysia, Jabatan Bantuan Guaman (JBG) serta institusi Kehakiman Syarie turut terlibat,” katanya.

Program itu jelasnya bukan sahaja memberi pendedahan mengenai pengurusan kewangan dan bantuan guaman, malah menjadi platform mendengar keperluan ibu tunggal bagi memperkukuhkan perancangan bantuan pada masa depan.

Tegasnya, JPW turut bekerjasama dengan JBG bagi membantu ibu tunggal, termasuk bukan Islam, mendapatkan khidmat guaman dalam tuntutan nafkah anak.

Selain itu, jelas beliau, kementeriannya turut meneliti cadangan baharu untuk memperkukuhkan bantuan kepada wanita menerusi Belanjawan 2027.