Keahlian Parti PBB Cawangan Saribas meningkat, program komuniti diperluas

DEBAK: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Saribas disaran menggerakkan jentera partinya mulai sekarang sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13).

​Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, langkah penstrukturan dan kesiapsiagaan perlu bagi memastikan kelangsungan momentum kemenangan cemerlang Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan berkenaan.

​Menurut beliau, inisiatif murni seperti Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat yang digerakkan Ahli Jawatankuasa Cawangan serta Ketua-Ketua Ranting PBB N.35 Saribas menyantuni dan mendekati ahli-ahli parti di peringkat akar umbi.

​Program berskala besar itu yang dilaksanakan sepanjang Mac hingga April lalu, meliputi 24 ranting dibahagikan kepada lima zon strategik.

​Menjelaskan tentang dinamika politik semasa, Dr Mohammad Razi mendedahkan bahawa setakat 18 Mac lalu, jumlah pengundi berdaftar di DUN N.35 Saribas melonjak kepada 17,286 orang, berbanding hanya 10,984 orang ketika PRN Ke-12 lalu.

“​Peningkatan ketara jumlah pemilih ini merupakan implikasi langsung daripada pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik bagi warga negara yang berumur 18 tahun ke atas.

Keahlian rasmi Parti PBB di DUN Saribas juga mencatatkan bilangan seramai 9,614 orang setakat 23 Jun lalu.

Katanya, peningkatan itu hasil komitmen berterusan melalui pembukaan reruai pendaftaran di setiap program komuniti dan sokongan daripada kepimpinan Ibu Pejabat Parti PBB, katanya.

​Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Penangguhan Program Jalinan Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Parti PBB Cawangan N.35 Saribas.

Majlis disempurnakan Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dan ADUN Beting Mato, Dato Razaili Gapor.