Sarawak manfaatkan sumber semula jadi jana ekonomi bernilai tinggi

KUCHING: Sarawak menggunakan sumber semula jadi seperti air, gas asli, cahaya matahari dan biojisim bagi menghasilkan produk bernilai tinggi serta membentuk ekonomi berasaskan tenaga bersih.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan itu menjadi sebahagian daripada strategi kerajaan negeri menambah nilai terhadap sumber yang dimiliki supaya manfaatnya dapat dikembalikan kepada rakyat.

Menurut beliau, Sarawak mempunyai kelebihan besar menerusi sumber semula jadi yang membolehkan negeri ini menjadi pengeluar tenaga bersih, termasuk tenaga hidro, solar dan biojisim.

“Air, cahaya matahari, biojisim dan gas asli dimanfaatkan bagi menjana tenaga bersih serta menghasilkan produk bernilai tinggi seperti biochar, metanol dan ammonia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Reunion Global Ke-20 Alumni Universiti Nanyang, di sini, malam ini.

Abang Johari berkata, ekonomi Sarawak tidak boleh hanya bergantung kepada pasaran domestik memandangkan negeri ini mempunyai kira-kira 2.8 juta penduduk, sebaliknya perlu berorientasikan eksport bagi menjana pertumbuhan ekonomi mampan.

Katanya, penguasaan bahasa serta hubungan jaringan antarabangsa juga penting dalam memperluaskan peluang perdagangan, khususnya dengan pasaran Asia yang mempunyai peranan besar dalam aktiviti ekonomi global.

“Sarawak berorientasikan eksport dengan LNG dan pelbagai produk dipasarkan ke peringkat antarabangsa manakala dalam dunia perniagaan, penguasaan bahasa penting untuk memudahkan urusan perdagangan global,” katanya.

Dalam masa sama, Premier Sarawak memaklumkan Kerajaan Sarawak turut memberikan tumpuan kepada pembangunan teknologi hijau menerusi penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga, termasuk pembangunan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen.

Beliau berkata, Sarawak juga sedang menarik minat pelabur dalam pembangunan pusat data berikutan bekalan tenaga yang mencukupi dan stabil namun pemilihan pelaburan dibuat secara berhati-hati kerana data merupakan aset strategik.

“Sarawak turut terlibat dalam pembangunan teknologi penyimpanan data berasaskan kaca yang disifatkan sebagai antara inovasi terkini dunia, sekali gus memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyokong ekonomi masa hadapan,” katanya.