BARIO: Jawatankuasa Akaun Awam Negeri Sarawak (PAC) mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Pembangunan Industri Beras Bario, di sini, baru-baru ini.
Projek terbabit dilaksanakan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro yang juga Pengerusi PAC Sarawak, Razaili Gapor berkata lawatan ini merupakan sebahagian usaha berterusan PAC Sarawak untuk meneliti dengan lebih dekat perlaksanaan sesuatu projek yang menggunakan dana awam.
“Ini sekali gus memperkukuh mekanisme semak dan imbang yang menjadi tunjang tadbir urus berakauntabiliti tinggi,”katanya ketika taklimat di Pejabat Daerah Kecil Bario.
Selain itu, katanya lawatan ini bertujuan memastikan pelaksanaan projek tersebut berjalan dengan telus, berkesan dan memberi manfaat sebenar kepada komuniti luar bandar, selaras Laporan Ketua Audit Negara.
Beliau menambah projek ini adalah satu inisiatif penting yang bukan sahaja menyentuh aspek keselamatan makanan dan kelestarian pertanian, malah memberi impak langsung kepada ekonomi luar bandar, khususnya masyarakat di pedalaman Sarawak.
Delegasi PAC Sarawak juga turut disambut komuniti Bario pada satu majlis makan malam bersama pemimpin komuniti dihoskan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Sarawak, Datuk Gerawat Gala.
Turut hadir ADUN Kabong Dato Mohd Chee Kadir, ADUN Batu Kitang Dato Ir. Lo Khere Chiang, ADUN Serembu, Miro Simuh, ADUN Batu Lintang See Chee How, Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan) Jabatan Pertanian Sarawak, Gilbert Igi dan Setiausaha PAC Sarawak, Nur Azhar Bujang.
