Pasar raya LePapa, Hotel Roxy kembangkan perniagaan ke Lawas

LAWAS: Pembukaan pasar raya LePapa dan Hotel Roxy di sini melibatkan pelaburan sektor swasta bernilai RM150 juta akan merancakkan pembangunan daerah itu sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab ekonomi dan perdagangan di utara Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaburan berskala besar itu mencerminkan keyakinan tinggi sektor swasta terhadap potensi pembangunan Lawas dan kawasan utara negeri ini.

“Apabila sektor swasta sanggup melabur dalam jumlah yang besar, ini menunjukkan mereka yakin terhadap potensi Lawas serta dasar pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

“Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta amat penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pasar raya Lepapa dan Hotel Roxy, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pembangunan tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor perdagangan, pelancongan dan perkhidmatan selain membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Tecktonic & Sons Holdings Sdn Bhd, Lee Chin Teck berkata pembangunan bersepadu yang direalisasikan dalam tempoh tiga tahun itu merupakan hasil kepercayaan syarikat terhadap potensi pertumbuhan ekonomi Lawas pada masa hadapan.

“Ramai yang bertanya sama ada Lawas mampu menyokong pembangunan sebesar ini. Saya percaya Lawas mempunyai masa depan yang cerah. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan untuk menjayakannya, dan hari ini kita dapat melihat hasilnya,” katanya.

Beliau berkata, projek yang dibangunkan di kawasan seluas 20 hektar itu merangkumi 26 unit lot komersial, 150 unit apartmen tiga bilik tidur, hotel 60 bilik, gimnasium, spa, kafeteria serta dewan bankuet berkapasiti sehingga 80 meja.

Pada majlis sama, Tecktonic & Sons Holdings Sdn Bhd turut menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM50,000 kepada lima organisasi tempatan sebagai usaha menyokong pembangunan komuniti dan kebajikan masyarakat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidillah Abdul Latip, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa serta Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.