KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menyambut lawatan seramai 38 pelajar dan guru dari St. Andrew’s Secondary School, Singapura di TEGAS Digital Village (TDV), di sini, hari ini.
Menurut kenyataan TEGAS, lawatan mereka ke hab inovasi utama Sarawak terbabit untuk pendedahan kepada ekosistem teknologi dan kreativiti Borneo.
Selain itu kunjungan ini merupakan tindak balas kepada inisiatif dicadangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Majlis Makan Malam Sarawak Forestry Corporation (SFC) baru-baru ini.
”Premier mencadangkan lawatan sedemikian untuk mendedahkan pelajar Singapura kepada flora dan fauna, serta ekosistem teknologi Sarawak,” menurut TEGAS.
Semasa di TDV, pelajar berpeluang menyaksikan ekosistem digital dan menghadiri sesi kesedaran minda yang dikendalikan oleh alumni TEGAS, Teduh Jiwa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh mengalu-alukan lawatan tersebut.
Lawatan ini sejajar peranan TDV sebagai pusat pemerkasaan komuniti dan sekolah melalui teras utamanya: inovasi, teknologi, dan pembelajaran inklusif, serta komitmen dalam melahirkan bakat digital masa hadapan dan mempromosikan kerjasama serantau.
