Pelajar harus berani, bersedia hadapi cabaran peluang kerjaya

SIMUNJAN: Pelajar disaran memilih laluan pendidikan yang relevan dengan kehendak pasaran pekerjaan semasa khususnya dalam sektor tenaga baharu dan ekonomi digital.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, pada masa sama pelajar perlu berani, berwawasan dan bersedia menyahut peluang kerjaya selari dengan aspirasi Sarawak menuju wilayah maju menjelang 2030.

Katanya, Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai peluang pendidikan di i-CATS, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Curtin University, Universiti Swinburne dan CENTEXS yang menawarkan bidang teknologi, hijau, automasi, dron dan ekonomi digital.

“Sarawak kini menuju era ekonomi hijau, hidrogen, digital dan pertanian moden. Pilihlah bidang yang selari dengan minat anda, AI, robotik, tenaga hijau, ekonomi digital atau pertanian moden,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 SMK Sri Sadong 2025 di Dewan Sri Gemilang, SMK Simunjan No. 1, semalam.

Beliau turut melahirkan rasa gembira melihat pembangunan pesat SMK Sri Sadong yang kini semakin lengkap dengan bangunan dan kemudahan moden.

Majlis graduasi bertemakan ‘Menjulang Harapan, Menggapai Kejayaan’ itu meraikan seramai 93 graduan Tingkatan 5 yang telah menamatkan persekolahan menengah.