KUCHING: Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan pembangkang menolak draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof bagaimanapun berkata, beliau akan menunggu surat rasmi berhubung perkara itu daripada pembangkang.
”Bila sudah ada surat rasmi daripada pihak pembangkang, saya akan membawa ke peringkat jawatankuasa majlis perundingan Kerajaan Perpaduan.
”Dari situ kita akan bincang sama ada kita nak terus berunding atau adakah ini muktamad daripada pihak pembangkang (untuk tidak berunding) memandangkan mereka menyatakan tidak bersetuju dengan segala syarat dalam draf cadangan MoU terbabit,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Penangguhan Regata Tandang Sari, Pusa di Dataran Tadang Sari, Pusa, Betong, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata,
beliau juga tidak pasti berkenaan pendirian pembangkang sama ada akan terus berunding atau tidak mengenai perkara itu.
“Segala keputusan diserah kepada jawatankuasa majlis perundingan Kerajaan Perpaduan.
“Sama ada kita nak menilai apa sahaja pandangan mereka atau kita nak kekalkan (rundingan), saya serahkan keputusan itu nanti dalam mesyuarat jawatankuasa (majlis perundingan Kerajaan Perpaduan),” katanya
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkenaan PN yang mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara Kerajaan Malaysia dengan parti PN dan antara Kerajaan Malaysia dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.
